Thursday, February 24, 2011

Peranan Ulama dalam Pembangunan Ummah dan Negara

Kita sewajarnya dan harus kembali ke pangkal jalan. Kemajuan dan pembaharuan yang dituntuti Islam lebih-lebih golongan fundamentalisnya “kesujudan kembali manusia sepenuhnya kepada Allah, kerana pada pokoknya manusia seperti juga jin telah dicipta untuk menyembah-Nya.”
Justru reformasi Islam hendaklah bersendikan seruan untuk kembali kepada ajaran Islam dalam erti kata sebenarnya.
Sayyid Quth mendakwa “the validity of Islam for all ages, which necessitates that every generation should develop and reinterpret the principles of the Holy Quran in order to prevent the stagnation of the Muslims and to further their progress.” (Rahnema. 1995:161).
Yang penting kitab suci itu bukan sekadar dibaca begitu sahaja, malahan perlu diberikan tafsiran dan dihayati sewajarnya.
Seterusnya Quth menganggap al-Quran sebagai kitab dakwah sekaligus “the constitution of an order, and a way of life, and not as a book of novels, amusement, or history.”
Yang jelas daripada jalur pemikiran terkini ialah anjuran kepada golongan ulama dan pemikir Islam supaya berani dan tegas menyuarakan pandangan yang hak berhubung dengan ajaran Islam.
Golongan yang disabdakan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai “pewaris para Nabi” (Abdul Halim El-Muhammady, 1991, 61) dan sabda baginda lagi bahawa “Diberi syufaat pada hari kiamat kepada tiga golongan yakni para Nabi, para Ulama dan para syuhada” sewajarnya berada di barisan depan dalam memupuk kesedaran beragama dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda yang terkemudian.
Sesungguhnya ulama dan pemikir Islam tradisional telah sedia memberi sumbangan besar lagi bererti dalam pembangunan ummah sejak zaman berzaman terutama daripada segi keintelektualan ilmu bersepadu sehingga mereka telah mampu menggerakkan massa biarpun tidak berhasil sepenuhnya.
Kini dalam era ledakan komunikasi maklumat di tengah-tengah pembinaan ‘desa sejagat’ atau ‘dunia tanpa sempadan’, tenaga mereka amat diperlukan dalam menyambung tradisi keilmuan agar kesinambungan tradisi ilmu berterusan.
Sesuai dengan perubahan zaman kini, mereka perlu membuat pendekatan baru dari segi penyebaran ajaran Islam lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan konflik dan krisis era globalisasi.
Oleh sebab pembabitan aktif golongan ulama dan pemikir agama amat diperlukan dalam menangani isu-isu semasa yang kian meruntuhkan nilai moral kaum muda-mudi, maka mereka perlu memahami, mengetahui dan menghayati ilmu-ilmu fardu kifayah bagi menjayakan konsep pendidikan bersepadu di bawah Falsafah Pendidikan Negara.
Generasi muda dituntut mendalami ajaran Islam secara rasional dan saintifik.
Kecintaan dan penghayatan mendalam sahajalah yang dapat mendorongi mereka menjadikan Islam sebagai ad-din, menerapkan ajarannya dalam apa juga permasalahan hidup dihadapi dalam dunia realiti tiap-tiap hari.
Malah, tokoh-tokoh non-Muslim dalam karya fiksyen genre novel sepanjang zaman abad lampau akhirnya memeluk Islam bukan semata-mata didorongi hasrat hendak mengawini pemuda atau gadis Islam, tetapi lebih dirangsangi oleh kekaguman dan keterpersonaan terhadap ajaran Islam sebagai agama besar bersifat universial meniupkan api kebenaran, merentasi sempadan dan warna kulit, bangsa keturunan, pangkat dan kedudukan.
Justru untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan bukan Islam, golongan pendakwah hendaklah menyesuaikan gerakan uslah Islamiah dengan tuntutan zaman kini.
Dalam proses penimbaan ilmu-ilmu sains, teknologi dan falsafah barat, anak-anak muda golongan intelektual daripada barisan pelapis diingatkan agar tidak sampai menyimpang daripada hakikat sebenar ajaran Islam.
Kalau terlalu mementingkan ilmu-ilmu sekular dan falsafah barat tanpa perimbangannya dengan nilai keislaman, nanti dikhuatiri akidah mereka akan rosak.
Pihak berkuasa dan golongan pendakwah harus sedar bahawa proses pengislaman dan pendakwahan yang menyeluruh dan yang dapat menjamin pengekalannya sebagai suatu realiti berpengaruh dalam jangka waktu panjang, menuntut perancangan yang komprehensif, yang mempertemu ide dan pendekatan daripada pelbagai pihak.
Ilmu pendakwahan hendaklah lengkap lagi menyeluruh yang diasosiasikan dengan perkembangan semasa. Penghayatan dan pengalaman kepada ilmu sudah tentu melahirkan tokoh-tokoh berjiwa progresif dan mempunyai wawasan sekaligus pula dapat memantulkan pemikiran bernas, luas lagi jitu ketika menegakkan kebenaran Islam apabila berdepanan dengan cabaran kalangan mubaligh agama lain.
Namun umat sekarang beruntung kalau dibanding dengan era awal perkembangan Islam bawaan Nabi Junjungan Besar Muhammad s.a.w. sebab mereka kini dapat dikatakan umat madani yang sudah kukuh dan mantap, yang mampu membina dan melakar tamadun umat manusia masa kini dan masa depan.
Dalam pada itu, mereka wajar sekali merenungi dan menghayati pengorbanan dan perjuangan tokoh ulama dan pemikir ulung Islam zaman lampau dengan idea permodenanan mereka supaya dapat dijadikan ikhtibar demi pembinaan ketamadunan baru pada masa depan yang lebih gemilang, cemerlang, dan terbilang, insyallah!

No comments: