Thursday, February 10, 2011

BM : Surat Kiriman Rasmi (2)

KARANGAN BAHAGIAN B

1.1.         KARANGAN BERBENTUK SURAT KIRIMAN RASMI
1.2.   PENGENALAN

·         Model karangan yang hendak diberikan dalam Bahagian B ialah yang berbentuk kursus seperti Surat Kiriman Rasmi, Surat Kiriman Tidak Rasmi, Laporan, Wawancara/perbualan/dialog, Ucapan, Syarahan, Ceramah, Perbahasan, Autobiografi, dan Berita.
·         Karangan tidak berformat atau berbentuk umum bakal dimodelkan ialah jenis Fakta, Rencana, Ulasan, Perbincangan, Pendapat, Penjelasan, Syor dan Cadangan, Cereka/Imaginasi, Keperihalan/ Gambaran, dan Peribahasa.
  
                            1.3.  SURAT RASMI ADUAN DAN BANTAHAN

·         Model yang dicontohkan di sini ialah surat aduan ataupun bantahan.
·         Aduan dibuat melalui saluran rasmi kepada Majlis Perbandaran.
·         Penulis surat aduan dan bantahan ialah wakil penduduk dilantik secara rasmi melalui mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Taman Kediaman.
·         Bantahan dibuat terhadap pembinaan kilang haram bersebelahan kawasan kediaman.

                             1.4. FORMAT KARANGAN SURAT KIRIMAN RASMI

·         Rujuki format karangan jenis surat kiriman rasmi sebelum ini.
·         Yang penting surat kiriman rasmi mesti ada alamat pengirim, alamat penerima terpisah oleh satu garisan lurus, kata penghadap surat, tajuk surat seperti ‘Aduan masalah akibat pembinaan kilang secara haram’, dan kata akhiran surat seperti ‘Saya yang menjalankan tugas’, disusuli tanda tangan, nama menggunakan huruf besar seluruhnya, dan jawatan jika ada. 


1.5.   MODEL SOALAN 2

Tulis sepucuk surat kepada Yang Dipertua Majlis Daerah ataupun Perbandaran ataupun Dewan Bandaraya mengadu hal beberapa masalah dihadapi dalam kalangan penduduk tempat anda tinggal.   

1.4.    KEHENDAK SOALAN 2

·         Isu utama soalan ini aduan dan bantahan penduduk kepada Majlis Perbandaran berhubung pembukaan kilang haram bersebelahan kawasan perumahan anda.
·         Bantahan dibuat kerana kilang berkenaan membisingkan suasana sekitar.
·         Sampah sarap dibiarkan bertaburan di sana sini.
·         Longkang besar tersumbat kerana pembinaannya tidak menurut piawaian.
·         Nyamuk aedes membiak sehingga ada penduduk terlantar di hospital.
·         Kata kunci dalam konteks soalan ini ialah pencemaran alam sekitar.
·         Sebagai wakil penduduk, anda mahu pihak berkuasa bertindak segera.
·         Kerjasama penduduk kepada pihak berkuasa bakal memudahkan penyelesaian masalah demi kebaikan bersama.

                                     1.7.  RANGKA DAN ISI KARANGAN 2
                                    
1.            Pengenalan surat rasmi
·         Kata-kata penghadap surat rasmi.
·         Tajuk surat rasmi.

2.            Isi-isi surat rasmi
·         Aktiviti kilang membisingkan suasana.
·         Sampah dibuang ikut sesuka hati.
·         Longkang tersumbat sebab pembinaannya tidak ikut piawai.
·         Nyamuk aedes membiak ada penduduk kena jangkitan.
·         Pada keseluruhannya alam sekitar tercemar.
·         Kecurian kian menjadi-jadi sejak pembinaan kilang.

3.            Kesimpulan surat rasmi
·         Berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera.

1.8.   MODEL KARANGAN 2
Aduan dan bantahan penduduk kepada Majlis Perbandaran berhubung pembukaan kilang haram bersebelahan kawasan perumahan

Taman Rimba Mengkuang,
Jalan Rimba Mengkuang,
68100, Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan.

Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Selayang,
Persiaran 3, Bandar Baru Selayang,
KM 15, Jalan Ipoh,
68100, Batu Caves,                                                                           
Selangor Darul Ehsan.                                                               20 DISEMBER 2010.                                                                                     

Tuan,

         Aduan dan Bantahan Penduduk Rimba Mengkuang terhadap Kilang Haram

               Berhubung dengan perkara di atas, saya sebagai wakil penghuni kawasan perumahan Taman Rimba Mengkuang, seperti alamat di atas, ingin membuat aduan dan bantahan kepada pihak tuan mengenai masalah yang timbul akibat pembinaaan kilang haram betul-betul bersebalahan dengan kawasan tempat tinggal kami.
2.                   Yang pertama masalah bunyi bising sehingga suasana sekitar taman kami sudah tidak tenteram lagi. Tidur anak-anak kecil amat terganggu dan tersentuh ketika tinggal bersama-sama ibu yang tidak bekerja ataupun pengasuh waktu siang hari. Pesara yang hendak melelapkan mata sesudah waktu zohor selalu terusik. Tuan sendiri sedia maklum bunyi bising ini termasuk dalam pencemaran alam sekitar menurut undang-undang kecil Majlis Perbandaran.
3.                   Reja-reja papan dan besi nampaknya dibuang sesuka hati, malah tumbunannya sudah mencecah aras tembuk pagar kawasan perumahan kami. Ketenteraman penduduk rata-ratanya amat tersentuh dengan pemandangan begini. Ertinya keindahan dan kehijahan sekitar kawasan rumah kami sudah tercemar.
4.                   Longgokan reja papan dan besi itu menyebabkan longkang besar tersumbat sementelahan pula tidak dibina menurut piawaian yang ditetapkan oleh pihak tuan.  Pencemaran mendatangkan mudaratan kepada penduduk seperti jangkitan demam dengi kerana longkang tersumbat mengundang masalah sebab air bertakung tempat pembiakan nyamuk aedes. Beberapa orang penduduk pernah dimasukkan dan dirawatkan di Hospital Kuala Lumpur akibat demam denggi. Bukankah keadaan ini menambahkan bebanan dan kesusahan hidup kami.
5.                    Kecurian kian menjadi-jadi sejak pembinaan kilang haram ini. Sebelum itu, keadaan dan kehidupan kami semuanya aman tenteram. Sekarang kami terpaksa berwaspada dengan pekerja kilang yang nampaknya orang seberang. Kami juga terpaksa menggaji pengawal keselamatan di pintu masuk utama untuk mengelakkan kecurian bukan sahaja waktu malam hari malam siang hari juga. Akibatnya kos hidup kami tiap-tiap bulan kian bertambah selain terigau-igau akan kecurian.
             Begitulah sahaja aduan dan bantahan kami. Kerjasama tuan dalam hal ini amatlah kami hargai dan sambut baik. Kami mengucapkan terima kasih banyak-banyak sekiranya tuan dapat mengambil tindakan segera terhadap aduan ini. Salam.

Saya yang menjalankan tugas,
…………………………….
(MARZUKI BIN MAMAT.)
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak,
Taman Rimba Mengkuang,
Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan.
(364 perkataan)

1.9.      ULASAN FORMAT DAN ISI SURAT KIRIMAN RASMI DI ATAS

·         Surat kiriman rasmi di atas tertulis menurut format yang betul. Panjang surat rasmi berpatutan kerana tertulis dalam lingkunan 364 perkataan.
·         Alamat pengirim, penerima, tarikh, kata penghadap surat, dan penutupan surat dengan harapan pihak berkuasa dapat bertindak terhadap aduan, serta nama dan jawatan pengirim.
·         Isu-isu yang menimbulkan bantahan dan rungutan penduduk ditulis menurut tertib, berpunca daripada pembinaan kilang haram bersebelahan kawasan perumahan.
·         Isu utama ialah pencemaran alam sekitar akibat daripada kilang papan dan besi itu.
·         Pencemaran mendatangkan mudaratan kepada penduduk seperti jangkitan demam dengi kerana longkang tersumbat mengundang masalah air bertakung tempat pembiakan nyamuk aedes.
·         Aliran pemikiran penulis surat jelas terungkap dengan lancar melalui kesinambungan pemikiran daripada satu ayat kepada ayat berikutnya.



1.10.            ULASAN ASPEK GAYA BAHASA SURAT RASMI

·         Surat ini ditulis menggunakan laras bahasa biasa iaitu sains sosial biarpun ada selitan diksi sains seperti nyamuk aedes dan infeksi demam denggi.
·         Biarpun surat ini bercorak rasmi, akan tetapi keindahan bahasa yang terungkap bagi pernyataan maksud amat terasa khusus daripada segi kesan keindahannya.
·         Contohnya ialah seperti ketenteraman penduduk, amat tersentuh, selalu terusik, cantik menghijau dengan tumbuhan alam semula jadi, persekitaran premis rumah kami memang benar-benar tercemar, dan terigau-igau akan kecurian.
·         Selain ayat-ayat yang gramatis, contoh petikan di atas mencerminkan penggunaan bahasa yang luas lagi tepat.
·         Ertinya diksi dan frasa berkenaan dapat mengawal aliran pemikiran penulis surat kepada maksud hendak disampaikan dari awal hingga akhir.


                                                  *********

1 comment:

Unknown said...

terima kasih
jasa mu dikenang
amat membantu
superkips_mari