Saturday, February 26, 2011

Gaya hidup remaja terpengaruh oleh iklan

Iklan melalui media cetak dan lebih-lebih lagi elektronik benar-benar memperaga gaya hidup pemuda kacak dan tampan. (AYAT TAJUK). Peragaan ini merangkumi gaya dan jenis bahan makanan serta minuman serta cara berpakaian. (HURAIAN). Pastinya yang diperagakan ialah jenama yang mahal-mahal, yang ada kelas dan berstatus tinggi lagi teristimewa. Contohnya seluar Jean dan makanan KFC dan MacDonald CONTOH). Trend gaya hidup serta berpakaian golongan remaja masa kini jelas terpengaruh daripada iklan berkenaan. (KESIMPULAN KECIL).
‘Iklan’ 'sesuatu paparan melalui media cetak atau elektronik dengan bahasa pengaruhan yang amat berkesan untuk membentuk persepsi pengguna agar akhirnya mereka dapat mengubah dan membeli produk atau perkhidmatan yang ditawarkan’. (TAKRIFAN IKLAN). ‘Gaya hidup’ bermaksud ‘sikap, kesukaan, dan cara berkelakuan yang menjadi ciri utama seseorang insan’. (TAKRIFAN GAYA HIDUP). Gaya dianggap sebagai penampilan dan sahsiah rupa diri yang menarik perhatian serta tontonan. (KESIMPULAN TENTANG GAYA).
Yang diperagakan ialah bahan dan cara makan khususnya ambilan makanan segera yang lazak sehingga menjilat jari. Begitu juga dengan jenama pakaian dan seluar jean yang ketat-ketat dan ringkas, rata-rata diminati oleh golongan muda-mudi kita. Akibatnya mereka kurang berselera dengan sajian ‘nasi lemak’ ataupun ‘roti canai’ malah ada pula yang langsung tidak kenal dengan makanan warisan nenek moyang ini. Mereka lebih mengemari ‘coca cola’ dan minuman bergas lain daripada ‘teh tarik’ ataupun ‘kopi o’.
Baik trend gaya hidup daripada segi jenis minuman dan makanan mahupun cara berpakaian, kedua-duanya berasal dari barat, dianggap sebagai budaya popular. Jenama pakaian begini terlalu kasual dan ala ‘cowboy’ seperti di Amerika sesuai untuk menunggang kuda pergi ke ladang gandum. Tetapi remaja kita memakainya hatta ketika menghadapi temuduga yang rasmi sifatnya, suatu trend yang bercanggah dengan tatasusila dan budaya kita. Remaja yang hendak menghadiri temu duga ataupun upacara rasmi sudah sewajarnya berpakaian kemas, berkemeja lengan panjang, bertali leher, ataupun berpakaian baju batik.
Makanan segera memang popular serta diminati oleh tiap-tiap golongan terutama kanak-kanak. Lama kelamaan nanti, trend begini akan menghilangkan makanan tradisi seperti nasi lemak, roti canai, lemang, ketupat, rendang, satay, lontong, dan nasi dagang. Yang rugi bukan sahaja mereka tidak kenal dan tidak berlesera dengan kudapan tempatan akan tetapi turut merugikan peniaga kecil di warung-warung tepi jalan.
Remaja perempuan pula meminati iklan yang memperagakan pakaian seluar panjang ketat seperti Jeans sehingga menampakkan susuk badan serta kemeja T singkat atau singlet nipis. Mereka turut boros berbelanja untuk membeli pakaian berkenaan agar tidak ketinggalan zaman. Mereka juga mnegemari iklan alat solek serta ubat dan alatan bagi melangsingkan badan sehingga gaya hidup mereka sudah semacam masyarakat barat.
Penampilan diri amat penting buat mereka untuk sentiasa kelihatan cantik, menarik lagi memikat minat anak muda. Trend gaya hidup begini tidak sempurna jika tidak dilengkapi dengan telefon bimbit dan beg tangan berjenama mahal-mahal harganya.
Iklan melalui media massa serta blog.spot benar-benar mempengaruhi trend gaya hidup dan berpakaian remaja masa kini. Kalau trend ini berterusan tanpa kawalan nanti dikhuatiri remaja yang bakal mewarisi kepemimpinan masa depan akan hilang keperibadian bangsa sendiri. Oleh itu, penyiaran iklan oleh media massa perlu sesuai dengan budaya, adat resam dan tatasusila bangsa dan negara kita.
Golongan remaja pula jangan mudah terikut-ikut dengan iklan berkenaan tetapi sebaliknya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan dan pakaian agar dapat mencerminkan nilai budi bahasa yang luhur lagi santun. Makanan seimbang pastinya menjamin hidup yang sihat lagi selesa.
Apakah maksud makanan seimbang? Piramid makanan seimbang mengesahkan insan perlu mengambil seraf, roti,dan bijian; disusuli sayuran dan buahan seberapa banyak yang mampu; kemudian secara sederhana dan berpatutan mengambil daging (ayam dan lembu/kambing); dan akhirnya sedikit lemak, minyak, gula, dan garam.




ULASAN FORMAT DAN ISI KARANGAN PENDAPAT

• Model di atas contoh terbaik bagi karangan bercorak pendapat yang sewajarnya dicontohi pelajar.
• Takrifan tentang ‘iklan’ dan ‘gaya hidup’ diberikan dengan jelas dan tepat.
• Premis penulis ialah iklan media cetak dan khususnya elektronik benar-benar mempengaruhi trend gaya hidup dan berpakaian remaja masa kini.
• Premis ini disokongi oleh contoh ketara seperti berpakaian jean dan kemeja T yang jarang menampakkan susuk badan.
• Begitu juga dengan kecenderungan remaja mengambil makanan ringkas dari barat seperti minuman bergas coca cola dan Kentucky sehingga mengabaikan makanan tradisi tempatan.
• Rumusan penulis ialah golongan remaja perlu kembali kepada gaya hidup tradisi yang diwarisi zaman berzaman sesuai dengan nilai budi bahasa yang luhur lagi santun.
• Dengan premis-premis begini, penulis menggunakan format hujahan secara logik, sama seperti format hujahan dan perbincangan, bagi menegakkan pendapatnya.
• Karangan ini agak panjang sehingga mencecah angka 496 perkataan.


ULASAN ASPEK GAYA BAHASA


• Gaya bahasanya mantap dan padu sesuai untuk karangan bercorak pendapat.
• Keindahan dan kekuatan bahasa karangannya amat menyentuh perasaan khalayak seperti ‘memperaga gaya hidup’, ‘sesuatu paparan’, ‘membentuk persepsi pengguna’,‘ penampilan dan sahsiah rupa diri’, ‘penampilan diri’, dan ‘mencerminkan nilai budi bahasa yang luhur lagi santun’.
• Proses normalisasi amat dimanfaatkan dalam karangan di atas seperti ‘memperaga gaya hidup pemuda kacak dan tampan. Kata dasar peraga dikembangkan melalui proses pengimbuhan seperti ini: ‘Peragaan ini merangkumi gaya dan jenis bahan makanan serta minuman serta cara berpakaian’.
• Contoh keluasan bahasa yang menimbulkan keindahan di sini ialah ‘sebaliknya lebih-lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan dan pakaian agar dapat mencerminkan nilai budi bahasa yang luhur lagi santun’.

Pelajar digalakkan menggunakan bahasa indah lagi luas maknanya seperti contoh karangan di atas.

No comments: