Wednesday, February 9, 2011

Karangan BM : Surat Rasmi

KARANGAN BAHAGIAN B
1.   PENGENALAN

·         Bahagian B menyediakan lima tajuk dan anda dikehendaki membuat karangan berdasarkan satu tajuk sahaja.
·         Masa dicadangkan ialah 1 jam 30 minit dengan peruntukan markah 100 peratus.
·         Biarpun calon dibenarkan menulis karangan sepanjang melebihi 350 patah kata, namun begitu, kebebasan ini tidak pula bererti anda boleh menyediakan karangan seberapa panjang termampu.
·         Maksudnya, panjang karangan hendaklah berpatutan asalkan melebihi 350 perkataan.  Seelok-eloknya dalam lingkungan 350 – 450 perkataan.
·         Jenis karangan terbahagi kepada bentuk berformat dan yang tidak berformat.
·         Tulisan berformat menghendaki anda mematuhi peraturan penulisannya secara ketat.
·         Karangan yang tidak berformat ialah tulisan biasa.
·         Karangan berbentuk khusus ialah Surat Kiriman Rasmi, Surat Kiriman Tidak Rasmi, Laporan, Wawancara/perbualan/dialog, Ucapan, Syarahan/ceramah, Perbahasan, Autobiografi, Berita, dan Diari.
·         Karangan tidak berformat atau berbentuk umum ialah Fakta, Rencana, Ulasan, Perbincangan, Pendapat, Penjelasan, Syor dan Cadangan, Cereka/Imaginasi, Keperihalan/ Gambaran, dan Peribahasa.


2.      KARANGAN BERBENTUK SURAT KIRIMAN RASMI
                   
o        Surat kiriman rasmi karangan pertama berformat khusus. Karangan ini mesti ditulis menurut bentuk khusus seperti perakuan Lembaga Peperiksaan Malaysia.
o        Format surat kiriman tidak rasmi seperti ditunjukkan dalam carta di bawah.

·         Contoh karangan surat kiriman rasmi ialah:
(a)        Surat pandangan dan pendapat
(b)       Surat aduan ataupun bantahan
(c)        Surat rayuan
(d)       Surat undangan
(e)        Surat permohonan
         
3.       FORMAT SURAT KIRIMAN RASMI

·         Format surat kiriman rasmi adalah seperti berikut:

         (a)   Alamat pengirim ditulis di sudut atas sebelah kiri.
(b)       Garisan panjang melintang dibuat selang satu baris daripada alamat pengirim.
(c)        Nama dan alamat penerima ditulis sesudah garisan panjang melintang di sudut sebelah kiri. Baris akhir perlu digarisi.
(d)       Tarikh ditulis di sebelah kanan surat, sebaris dengan baris akhir alamat penerima. Bulan perlu ditulis dengan huruf besar dan diakhiri dengan tanda nokhtah (.).
(e)        Panggilan hormat penerima ditulis di bawah alamat penerima selepas selang sebaris. Gunakan huruf besar untuk tiap-tiap awal kata kecuali kata sendi, kata hubung, dan kata sandang.
(f)        Perkara ditulis di bawah panggilan hormat penerima sesudah selang sebaris. Gunakan huruf besar untuk tiap-tiap awal kata kecuali kata sendi, kata hubung, dan kata sandang.
(g)        Perenggan pendahuluan dan penutupan ditulis dari tepi surat dan tidak perlu bernombor.
(h)       Tiap-tiap perenggan isi perlu bernombor, bertanda nokhtah (.) sementara permulaan ayat dianjakkan ke dalam sedikit.
(i)         Pengakuan pengirim ditulis di sebelah kiri surat sesudah selang sebaris. Huruf pertama bagi perkataan pertama hendaklah ditulis dalam HURUF BESAR, diakhiri dengan koma (,).
(j)         Tanda tangan penulis ditulis di sudut kiri surat sesudah pengakuan pengirim.
(k)       Nama pengirim ditulis dengan HURUF BESAR di dalam kurungan beserta jawatan (jika ada).
                      
                             ____________,
                  ____________,   (a)
                    ____________ .
                   _________________________________ (b) _____________________
                    ____________,
____________,  (c)                        ____________ . (d)                           ____________________.
_________________, (e)
_________________________________ (f)
__________________________________________ (g)
2.      ____________________ (h) _______________________________
          ______________________________________________________. 
3.      ______________________________________________________.
4.      ______________________________________________________.
5.      ______________________________________________________.
          
           _________________, (i)

       _________________  (j) 

      (_________________) (k)



4.       MODEL SOALAN 2

Tulis sepucuk surat kepada Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, mengemukakan pandangan anda terhadap perlulusan alam fauna dan flora. Cadangkan langkah-langkah pemuliharaan alam semula jadi itu. Panjang surat anda mestilah melebihi 350 perkataan.  


5.      KEHENDAK SOALAN 2

·         Isu utama soalan ini ialah pelupusan alam fauna dan flora yang berpunca daripada sikap dan perbuatan manusia sendiri.
·         Calon juga perlu mencadangkan langkah-langkah pemuliharaan alam semula jadi akibat perlupusan alam fauna dan flora itu.
·         Karangan ini semestinya ditulis menurut format surat kiriman rasmi.
·         Kata kunci dalam konteks soalan ini ialah fauna, flora, dan pemuliharaan.
·         Ketiga-tiganya tergolong dalam laras bahasa sains tulen. Ertinya anda perlu menggunakan laras bahasa sains tulen sebanyak mungkin untuk karangan bercorak surat rasmi kepada Presiden Persatuan Pencinta Alam Sekitar ini.
·         Laras bahasa sains sudah mengalami proses pengintelektualan dengan ayatnya yang menampakkan kematangan dan keintelektualan berhujah.
·         Kadar penggunaan istilah khususnya jauh lebih tinggi dan kerap kalau dibandingkan dengan laras bahasa sastera atau sains sosial.
·         Semakin tinggi dan susah kosakata serta istilah yang digunakan oleh teks sains, maka semakin rendahlah tahap keterbacaan khalayak terhadapnya. Tahap keterbacaan bermaksud kemampuan hendak memahami satu-satu teks dan seumpamanya.
·         Laras bahasa sains ditandai oleh kadar didaktif serta peribadiannya yang tinggi.
·         Ketinggian kadar ini disebabkan oleh sifat pengajaran bidang sains itu sendiri. Pengajarannya adalah pengajaran eksperimental serta penyelesaian masalah. Sebab itulah, ciri dedaktif dan peribadian ataupun separuh peribadian itu diperlukan oleh laras sains.
·         Laras bahasa sains ditandai oleh kekerapan penggunaan golongan kata nama dan kata kerja berbanding dengan kata sifat.
·         Banyak laras bahasanya diambil daripada bahasa asing khusus Inggeris. Pengambilan kata nama daripada bahasa asing itu membawa imbuhan asing itu bersama-sama seperti ics (ik), logy (logi), ecto- (ekto-) sementara –ium dan mult- tidak berubah.


6.      ISI-ISI YANG PERLU DITULIS DALAM SURAT RASMI DI ATAS

·         Daripada segi isi pula, yang perlu disebutkan dalam surat kiriman anda ialah jumlah spesis haiwan dan tumbuhan yang telah dinamai saintis dan banyak daripadanya sudah pupus.
·         Kepupusan berpunca daripada tindakan manusia seperti pemusnahan habitat dan pembuangan gas bertoksid sehingga berlakunya  pencemaran.
·         Kawasan hutan kian pupus akibat pembalakan haram, pembakaran hutan, pembukaan tanah baru, pemburuan secara haram, dan peningkatan suhu dunia. Contohnya pelupusan haiwan dinasour.
·         Pembakaran hutan secara terbuka serta pembukaan tanah baru turut memusnah tumbuhan di hutan. Pemburu tanpa lesen juga menjadi faktor melalui pasaran antarabangsa dan tempatan.
·         Cadangan pemuliharaan alam flora dan fauna:
·         Semua pihak bertanggungjawab menjaga fauna dan flora daripada pupus.
·         Pemburu haram perlu dikenakan tindakan tegas seperti lima tahun penjara ke atas bintang Bollywood, Salman Khas kerana memburu spesies rusa yang hampir pupus di taman hidupan liar di Mumbai, India.
·         Ada spesies tertentu perlu dikategorikan semula daripada ‘terancam’ kepada ‘hampir pupus’ seperti yang terjadi pada burung botak upeh.
·         Kawasan perlindungan spesies tertentu perlu diperluaskan serta    mengisytiharkannya sebagai kawasan santuari burung.
·         Kajian terperinci perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan jumlah sebenar populasi flora dan fauna negara.
·         Persatuan Pencinta Alam Malaysia perlu menjalankan kajian dari semasa ke semasa serta perlu memainkan peranan lebih proaktif agar tidak berulang kembali peristiwa kepupusan burung Merak Hijau dari bumi Malaysia pada tahun 1960-an dulu. 
·         Surat rasmi berkenaan perlu dibahagikan kepada dua bahagian dengan bahagian awal menghuraikan faktor kepupusan alam fauna dan flora sementara bahagian kedua mengemukakan cadangan pemuliharaan kedua-duanya.
·         Satu perenggan kesimpulan dianggap sebagai penyimpul kepada huraian kedua-dua isu berkenaan, yang diakhiri dengan harapan kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia agar peristiwa kepupusan Merak Hijau tidak berulang kembali.
·         Tiap-tiap perenggan hendaklah ada AYAT TAJUK, HURAIAN, CONTOH, dan AYAT KESIMPULAN.
·         HURAIAN dan AKIBAT menjelaskan pernyataan khusus dalam AYAT TAJUK, diperkukuhi dengan contoh yang baik, relevan lagi semasa.
·         AYAT KESIMPULAN menyimpulkan pendapat ada dalam tubuh huraian sebelumnya. AYAT KESIMPULAN tidak mengulangi isi dalam perenggan terdahulu.


     
7.         MODEL SURAT KIRIMAN RASMI DI ATAS
         

      Jesica anak Ukam,
Sekolah Menengah Kebangsaan Miri,
98009 Bandaraya Miri,
Sarawak.

Yang Dipertua,
Persatuan Pencinta Alam Malaysia,
JKR 641, Jalan Kelantan,
Bukit Persekutuan,
50480 Kuala Lumpur.                                                                             20 OKTOBER 2010.

Tuan,

Cadangan pemuliharaan alam fauna dan flora di Malaysia

Dengan segala hormatnya, saya ingin menarik perhatian tuan berhubung dengan isu di atas, yang pada waktu kebelakangan ini kian banyak dilaporkan dalam media arus perdana.        

2.       Terlebih dahulu saya bagi pihak Persatuan Pencinta Alam Sekolah Menengah Kebangsaan Miri mengucapkan tahniah kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia sempena ulang tahun ke-70 penubuhannya pada 8 dan 9 Oktober lepas. Seperti dilaporkan, persatuan menganjurkan persidangan khusus yang diwakili 150 wakil dan pengucap membincangkan isu biodiversiti, yang kian mengancam kehidupan kita.

3.   Tidak dapat dipastikan dengan tepat jumlah spesies flora dan fauna di seluruh dunia. Ketua saintis Kesatuan Konservasi Dunia (WCU), Jeff McNeely, berkata kira-kira 1.7 juta spesies haiwan dan tumbuhan sudah dikenalppasti dan dinamai oleh saintis. Namun begitu, saintis juga bersetuju bahawa jumlah spesies ini kian pupus akibat aktiviti manusia seperti pemusnahan habitat dan pembuangan gas bertoksid sehingga berlakunya  pencemaran.

4.                            Kawasan hutan kian pupus akibat pelbagai faktor seperti pembalakan haram, pembakaran hutan, pembukaan tanah baru, pemburuan secara haram, dan peningkatan suhu dunia. Pembakaran hutan secara terbuka serta pembukaan tanah baru turut memusnah tumbuhan di hutan. Pemburu tanpa lesen juga menjadi faktor melalui pasaran antarabangsa dan tempatan.

5.                            Sejarah membuktikan kepupusan ‘dinasour’ akibat perubahan cuaca dunia. Fenomena Elnino yang meningkatkan suhu dunia secara mendadak telah mengancam sesetengah spesies haiwan dan tumbuhan yang tidak tahan dengan cuaca panas.

6.                            Tindakan memelihara spesies flora dan fauna ini membabitkan kesemua pihak terbabit. Yang penting orang ramai perlu dididik dan ada rasa tanggungjawab terhadap spesies ini. Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pemburu haram. Lima tahun penjara ke atas bintang Bollywood, Salman Khas kerana didapati bersalah secara haram memburu spesies rusa yang hampir pupus di taman hidupan liar di Mumbai, India, patut dijadikan teladan. Ada spesies tertentu perlu dikategorikan semula daripada ‘terancam’ kepada ‘hampir pupus’ seperti yang terjadi pada burung botak upeh.

7.            Kawasan perlindungan spesies tertentu perlu diperluas serta  mengisytiharkannya sebagai kawasan santuari burung. Kajian terperinci perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan jumlah sebenar populasi flora dan fauna negara. Kita masih ingat lagi akan peristiwa pahit yang patut dijadikan pengajaran akan kepupusan burung Merak Hijau dari bumi Malaysia pada tahun 1960-an. Maka di sinilah saya berpendapat Persatuan Pencinta Alam Malaysia perlu memainkan peranan lebih proaktif demi kepentingan alam flora dan fauna. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah.  Sekian dan terima kasih.


Yang benar, 

Jesica
………………………
(JESICA ANAK UKAM)
Presiden Persatuan Pencinta Alam
Sekolah Menengah Kebangsaan Miri.

(416  perkataan)



8.      ULASAN FORMAT DAN ISI SURAT KIRIMAN RASMI DI ATAS

1.      Surat kiriman rasmi di atas tertulis menurut format yang sebenarnya. Ertinya surat yang ditulis Jesica Anak Ukam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Miri kepada Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia ini adalah contoh karangan bercorak surat rasmi yang baik.

2.      Panjang surat rasmi juga berpatutan kerana tertulis dalam lingkunan 416 perkataan.

3.      Jesica pada perenggan pertama terus menarik perhatian pihak berkenaan kepada isu yang hendak diutarakan iaitu kepupusan alam flora dan fauna.

4.      Surat Jesica juga diseliti oleh ucapan tahniah dan syabas kepada persatuan kerana baru sahaja meraikan sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan.

5.      Perenggan terbina dengan baik kerana dimulai dengan ayat tajuk, disusuli oleh huraian, contoh, dan ayat kesimpulan.

6.      Namun begitu, ayat tajuk pertama agak berhati-hati kerana Jesica sendiri tidak pasti akan jumlah kepupusan flora dan fauna sebenar daripada 1.7 juta spesis yang dinamai saintis.

7.      Ayat tajuk bagi isu keempat (4) ialah faktor-faktor kepupusan flora dan fauna, kesemuanya memang tepat dan relevan. Kemudian diberikan contoh spesifik tentang kepupusan ‘dinasour’ akibat perubahan cuaca global bagi ayat tajuk kelima (5).

8.      Dua perenggan berikutnya mengandungi cadangan-cadangan pemuliharaan alam sekitar. Sekali lagi Jesica memberikan pendapat, cadangan, dan idea bernas berhubung perkara ini.

9.      Perenggan kesimpulan menarik perhatian pihak berkuasa seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia memainkan peranan lebih proaktif untuk bertindak tegas dan menjalan kajian dari semasa ke semasa bagi memulihara alam flora dan fauna.

10.  Aliran pemikiran Jesica terungkap dengan lancar melalui kesinambungan pemikiran daripada satu ayat kepada ayat berikutnya.



9        ULASAN ASPEK GAYA BAHASA SURAT KIRIMAN RASMI DI ATAS

1.      Surat ini ditulis menggunakan laras bahasa sains dengan tepat dan relevan seperti kehendak soalan.
2.      Diksi laras bahasa sains digunakan ialah biodiversiti, spesius flora dan fauna, dinosaur, fenomenua elino, gas bertoksid, pencemaran, santuari burung, dan popularasi.
3.      Ayat gramatis dengan penggunaan kos dan frasa kata yang luas lagi tepat seperti pembalakan haram, pembakaran hutan, pembukaan tanah baru, pemburuan secara haram, dan peningkatan suhu dunia.
4.      Jesica turut menggunakan ungkapan menarik lagi indah yang dipetik daripada pepatah Melayu seperti ‘sudah terhantuk baru terngadah’.
5.      Pepatah ini bermaksud ‘sudah susah, baru beringat’, dalam erti kata bahawa kesemua pihak terbabit termasuk rakyat baru hendak beringat dan berwaspada apabila alam fauna dan flora sudah pupus di negara ini.
6.      Penyelitan ungkapan indah seperti pepatah ini bakal mengindahkan karangan anda biar apa corak sekalipun.
7.      Penggunaan tanda baca juga tepat serta mengikuti perkembangan semasa.



                                                                       *************

No comments: