Tuesday, March 1, 2011

Tip Nur Amalina memperoleh 17 1A SPM 2004


“Saya mahu catat rekod baru dan bertindak mencabar diri sendiri sesudah menonton televisyen memapar kejayaan pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia SPM sebelum ini”.
Begitulah kata-kata dan azam tinggi Nur Amalina Cik Bakri, kira-kira lima bulan sebelum mengambil peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Ulu Tiram, Kota Tinggi, Johor, pada 2004.
Falsafah pegangan puteri kesayangan Cikgu Sabariah Hassan, 50, ini ialah kata-kata perangsang Mahatma Ghandi: ‘Keputusan terletak pada usaha, tidak pada pencapaian’.
Azam dan cita-cita tidak tinggal begitu sahaja, tetapi dituangi dengan usaha gigih, semangat yang kental dan cekal, serta kerajinan membaca dan mengulangkaji pelajaran.
Doa restu ibu bapa di samping keberkatan Ilahi yang dipohon tiap-tiap kali sujud menyembah-Nya, melengkapi usaha dan kerajinan membaca tanpa tebing itu.
Usahanya diretui Ilahi dengan mencatat rekod memperoleh 1A bagi kesemua 17 mata pelajaran yang diambilnya.
Pencapaian ini satu rekod kerana pencapaian terbaik sebelumnya ialah 13 1A dan kemudian 16 1A. Seorang pelajar sama tahun dengan Amalina mendapat 14 1A.
Amalina belajar sekurang-kurangnya empat jam sehari selain menyiapkan kerja-kerja rumah dengan penuh daya usaha dan kreativiti.
Dia menganggapi kerja sekolah di rumah itu sesuatu yang menyeronokkan, tidak sesuatu yang membebankan sehingga ada ibu bapa yang menyiapkan bagi pihak anak-anak.
Amalina mengimbangi kecemerlangan akademiknya dengan kegiatan ko-kurikulum.
Dia sedar insan yang sempurna ialah yang cemerlang daripada segi intelek dan emosi. Amalina ada kedua-duanya.
Ertinya, Amalina sudah membina kekuatan diri melalui pendekatan refleksi tentang kekuatan dan kelemahan diri selain menghormati kemampuan dan kekuatan rakan seperjuangan yang lain.
Kita panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar Amalina terus unggul dalam apa juga bidang akademik yang diceburinya di universiti tersohor di United Kingdom, serta arena kerjayanya sepulang ke tanah air tercinta.

Monday, February 28, 2011

Hendak Seribu Daya


Pepatah yang menjadi tajuk esei ini satu daripada beratus-ratus ribu peribahasa yang dipusakai orang Melayu sejak zaman berzaman.
Maksudnya ialah ‘Kalau mahu macam-macam usaha, kalau tidak mahu macam-macam alasan’.
Selamanya masyarakat Melayu terkenal dengan pengucapan beradat lagi berbudi bahasa.
Satu-satu hajat ataupun maksud tidak dinyatakan secara berterus terang kerana hal demikian dianggap tidak beradab lagi berkelakuan kasar dan biadap. Begitu juga nasihat diberikan secara lembut tanpa melukakan hati.
Begitulah peribahasa dicipta oleh nenek moyang kita dahulu kala untuk maksud tersirat dalam suasana kemesraan, bersopan santun lagi berbudi bahasa.
Peribahasa seperti tajuk esei ini berkias ibarat, tetapi tidak terselam akan kedalaman dan keluasan maknanya.
Tujuannya ialah hendak memberi semangat, pengajaran, motivasi, dorongan agar dapat bangkit daripada kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.
Kita kutip kisah Jusuh sebagai contoh membuktikan kesahihan maksud pepatah ini. Dia berasa berbesar hati kerana memperoleh pekerjaan baru!
Usaha kerasnya: mencari kerja kosong melalui iklan-iklan dalam media cetak, menjelajahi internet, menelefon, menghadiri temuduga akhirnya membuahkan hasil.
Dia berasa sungguh gembira. Betapa tidak, berapa tahun lamanya dia terpaksa menganggur biarpun ada ijazah jurusan kejuruteraan elektrik.
Selamanya, dia sedar, ijazah sahaja belum memadai untuk melamar kerja jika tidak disertai dengan kemahiran dan pengalaman bekerja dalam bidang berkenaan.



Kim Pak Ooi menangis teramat sangat sehingga tidak dapat mengawal perasaannya apabila mengenangkan kekasih hatinya tergamak memutuskan ikatan tali pertunangan.
Peristiwa itu benar-benar menyayat hatinya dan dia berasa sedih dan kecewa seolah-olah hidup sudah berakhir buatnya.
Ibu bapa dan rakan bersimpati dengannya banyak memberi nasihat, dengan kata-kata ‘kumbang tidak seekor, bunga tidak sekuntum,’.
Kata perangsang inilah yang menguat semangat untuk mengorak langkah dan azam baru yang lebih bersemangat sehingga akhirnya dia menjadi akauntan bertauliah.
Brian Maria begitu marah pada dirinya sendiri sehinggakan hidup dan perasaannya begitu gementar.
Dia pada mulanya begitu marah akan ibu bapanya kerana mereka tidak merestui cita-citanya hendak menjadi juruterbang.
Dakwa mereka, profesion demikian bahaya dan berisiko tinggi. Kian berengsut usia, dia kian sedar dan faham akan larangan mereka.
Demikianlah dia akhirnya mengubah haluan menjadi jurutera genetik sehingga berjaya menghasilkan ciptaan dan inovasi turut membanggakan rakyat dan negara.
Perasaan yang dialami oleh Jusuh, Kim, dan Brian, berbauran di antara gembira, sedih, marah, dengan damai adalah wajar dan sesuatu yang umum, lumrah dialami oleh insan di maya pada ini.
Tiap-tiap orang sesungguhnya mengalami perasaan yang bermacam-macam. Insan tidak dapat melayari bahtera hidup dalam erti kata sebenar-benar jika tidak berperasaan.
Perasaan tersemat dalam sanubari sewajarnya bersendi ketekunan dan kegigihan menghadapi cabaran hidup.
Ertinya, sekali gagal bukanlah bererti gagal selama-lamanya.
Pendek kata, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu daleh’ dan ‘jika rajin mengakas, namun selera lepas juga’.
Kesemua genre khazanah puisi lama seperti pepatah dalam esei contoh ini dicipta dengan kekuatan intelektual orang Melayu zaman silam.
Penciptaannya mendukung maksud tertentu.
Kepada anak remaja misalnya, banyak peribahasa terhasil bermaksud hendak mendidik, mengasuh dan tunjuk ajar, memberi nasihat serta perangsang agar mereka tidak mudah putus asa, sekali gus berani menghadapi cabaran seperti maksud pepatah ini demi kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.

Sunday, February 27, 2011

Tip-tip Menjadi Pelajar Cemerlang




Tip-tip untuk muncul pelajar cemerlang SPM:
(1) Ulangkaji pelajaran awal secara konsisten.
(2) Bagi pelajar Islam, selalu dekati dan ingati Ilahi.
(3) Panjatkan doa agar diberkati segala usaha jujur dan ikhlas.
(4) Buat solat sunat tahjud, hajat, dan membaca al-Quran.
(5) Urus masa secara seimbang dan cekap.
(6) Otak mengongsi kawalan akal-fikir dan kesihatan tubuh.
(7) Kecerdasan otak terhasil daripada pengambilan makanan berzat.
(8) Ambil vitamin tambah untuk tingkatkan kecerdasan otak dan minda.
(9) Selalu ambil madu lebah yang tinggi khasiatnya.
(10) Madu asli dapat mempertingkat memori ingatan.


Baik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, baik Mohamad Aizuddin Mohd Yaakub, mahupun pasangan kembar Rohamina-Rohaisha Jamil, masing-masing nampaknya menggunakan resipi serupa dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum dan sesudah mengulangkaji pelajaran sehingga akhirnya muncul pelajar cemerlang-terbilang.
Pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008, Hik Nur Madihah muncul pelajar cemerlang peringkat nasional apabila memperoleh 20A termasuk 1A2, mengatasi rekod cemerlang Siti Fatimah Mokhtar, yang mendapat 18A termasuk 1A2 pada 2006, dari sekolah yang sama, Maahad Muhamadi (Perempuan) di Kota Bharu, Kelantan.
Mohamad Aizuddin pula memperoleh A1 dalam semua 13 subjek yang diambilnya dan muncul antara pelajar terbaik SPM 2008 di Negeri Sembilan.
Pasangan kembar Jamil yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban mendapat 11 A 1 merangkum subjek sains dan matematik dan sains sosial.
Lain halnya dengan Zamri Amir yang juga mendapat 11A1 dan muncul antara pelajar terbaik Sekolah Alam Shah, di Putrajaya, kerana biarpun berasal daripada keluarga susah seperti keluarga Nuk Nur Madihah, pengurusan masa yang cekap dan seimbang menjadi faktor penting di sebalik kecemerlangannya itu lantaran dia juga aktif dalam Pasukan Orkestra SSAS.
Allah SWT berfirman dalam Surah Surah at-Tiin (Ayat 4-6): Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
“Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua ataupun menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia kepada serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang bermain dan beramal salih, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus”.
Persis kata Nik Nur Madihah, anak jati kampung nelayan, Kampung Parang Puting, dekat Pantai Sabak itu:
“Saya mengulang kaji awal pagi tiap-tiap hari selepas solat tahajudin sesudah membaca al-Quran”.
Begini pula kata adik beradik kembar, Rohamina dan Rohaisha: “Kami selalu membaca al-Quran, selain kerap melakukan solat hajat agar dipermudah kami mengikuti pelajaran dan mendapat kejayaan cemerlang”.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mukminun (Ayat 1-5): Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya. …
Bagi Mohammad Aizuddin, pendekatan diri kepada Yang Maha Berkuasa dan Pencipta Sekalian Alam penting sebab mengingati Allah melalui pengerjaan suruhan-Nya dan penjauhan larangan-Nya menjadikan jiwa sentiasa tenang dan mudah memahami pelajaran.
Dan sesungguhnya pelajar cemerlang SPM 2008 yang disebutkan di sini adalah pilihan Allah daripada 6,277 calon cemerlang lain, menepati maksud Surah ar-Ra’d (Ayat 26):
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Ia juga menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain daripada kesenangan yang kecil dan tidak kekal, berbanding dengan kesenangan hari akhirat.
Sebagai manusia pilihan dengan sebaik-baik kejadian bersekali penganugerahan akal-budi melalui otak yang pintar, mereka tidak pernah melupai Allah SWT dengan melakukan suruhan ibadatnya demi tuntutan ukhrawi dan duniawi.
Otak mereka sama juga seperti binaan otak pelajar dan malahan manusia lain, seumpama dua buah hemisfera. Satu sebelah kanan sementara yang satu lagi sebelah kiri. Kedua-duanya mengongsi pemikiran dan kawalan tubuh badan.
Bagi kebanyakan orang, hemisfera otak kanan lebih kreatif sementara yang sebelah kiri lebih logik. Yang lebih kreatif melahirkan insan berfikiran sains sosial sementara yang lebih logik berfikir secara saintifik dan matematik.
Otak pelajar cemerlang ini nampaknya seimbang hemisfera kanan dan kiri bergabung-jalin melahirkan kepintaran subjek sains sosial dan sains tulen.
Manusia dianugerahi akal untuk berusaha dan berfikir mengejar kejayaan duniawi dan ukhrawi seperti janji Ilahi asalkan kita sentiasa mengingati dan mendekati-Nya. Resipi mereka sepatutnya jadi ikutan calon SPM tahun 2010, yang bakal diumumkan keputusannya sedikit masa lagi, untuk meraih kecemerlangan lebih terbilang.

Fata morgana Diri (buat sesiapa yang menginjaki pelamin hari ini)




Kalau semalam kita terbaca dalam media
kedegilan bapa mewalikan gadisnya
bagi satu pernikahan penuh bermakna,
hari ini kita saksikan satu perarakan sendu
usungan jenazah ke kuburan tanahnya berdebu
di atasnya tersanding dua merpati seusia
di dalamnya terpegun manusia ternama tak bernama
mencanai ide pemikiran tersohor di persada dunia
mempercepat perarakan ke kuburan
di sana sedia menanti pekerja siuman
mengembumikan gadis pengantin dadanya luka
si teruna dengan keceriaan berkinja di ufuk mata
memahat keazaman melukai hati siapa juga
atas nama nafsu serakahnya
dengan nawaitu menghancuri hati tersula
atas nama kemanusiaaan mengalir entah dari mana.

Kalau semalam kita terdengar kelantangan si bapa
menolak kepasrahan ketentuan Pencipta maya
dengan longgokan serban mencecah jendela dunia
bersama keangkuhan menidakkan segala,
hari ini, saksikanlah keterseradungannya
bersama fata morgana bakal menantu
yang belum waktunya untuk bersemandi di situ
atas dosa mereka mencabut satu nyawa
yang sedang meniti banir malam bersama kekasihnya
mencari kerlipan sinar biarpun baru berkelip manja.

Penceraian suatu penikahan sudah terbukti
penggadaian maruah dan harga diri
pernikahan songsang demi pematian insani
maka perlu bangkitlah seorang lagi syeikh al-hadi
memerangi ketaksuban dan kebidaahan hati
manusia berwawasan berteknologi tinggi
meminggir hak gadis bersuara jauh ke sudut hati.
Amin!

DR ILIAS ZAIDI
Bt 6 Gombak, Kuala Lumpur.
27 Februari 2011.

Saturday, February 26, 2011

Gaya hidup remaja terpengaruh oleh iklan

Iklan melalui media cetak dan lebih-lebih lagi elektronik benar-benar memperaga gaya hidup pemuda kacak dan tampan. (AYAT TAJUK). Peragaan ini merangkumi gaya dan jenis bahan makanan serta minuman serta cara berpakaian. (HURAIAN). Pastinya yang diperagakan ialah jenama yang mahal-mahal, yang ada kelas dan berstatus tinggi lagi teristimewa. Contohnya seluar Jean dan makanan KFC dan MacDonald CONTOH). Trend gaya hidup serta berpakaian golongan remaja masa kini jelas terpengaruh daripada iklan berkenaan. (KESIMPULAN KECIL).
‘Iklan’ 'sesuatu paparan melalui media cetak atau elektronik dengan bahasa pengaruhan yang amat berkesan untuk membentuk persepsi pengguna agar akhirnya mereka dapat mengubah dan membeli produk atau perkhidmatan yang ditawarkan’. (TAKRIFAN IKLAN). ‘Gaya hidup’ bermaksud ‘sikap, kesukaan, dan cara berkelakuan yang menjadi ciri utama seseorang insan’. (TAKRIFAN GAYA HIDUP). Gaya dianggap sebagai penampilan dan sahsiah rupa diri yang menarik perhatian serta tontonan. (KESIMPULAN TENTANG GAYA).
Yang diperagakan ialah bahan dan cara makan khususnya ambilan makanan segera yang lazak sehingga menjilat jari. Begitu juga dengan jenama pakaian dan seluar jean yang ketat-ketat dan ringkas, rata-rata diminati oleh golongan muda-mudi kita. Akibatnya mereka kurang berselera dengan sajian ‘nasi lemak’ ataupun ‘roti canai’ malah ada pula yang langsung tidak kenal dengan makanan warisan nenek moyang ini. Mereka lebih mengemari ‘coca cola’ dan minuman bergas lain daripada ‘teh tarik’ ataupun ‘kopi o’.
Baik trend gaya hidup daripada segi jenis minuman dan makanan mahupun cara berpakaian, kedua-duanya berasal dari barat, dianggap sebagai budaya popular. Jenama pakaian begini terlalu kasual dan ala ‘cowboy’ seperti di Amerika sesuai untuk menunggang kuda pergi ke ladang gandum. Tetapi remaja kita memakainya hatta ketika menghadapi temuduga yang rasmi sifatnya, suatu trend yang bercanggah dengan tatasusila dan budaya kita. Remaja yang hendak menghadiri temu duga ataupun upacara rasmi sudah sewajarnya berpakaian kemas, berkemeja lengan panjang, bertali leher, ataupun berpakaian baju batik.
Makanan segera memang popular serta diminati oleh tiap-tiap golongan terutama kanak-kanak. Lama kelamaan nanti, trend begini akan menghilangkan makanan tradisi seperti nasi lemak, roti canai, lemang, ketupat, rendang, satay, lontong, dan nasi dagang. Yang rugi bukan sahaja mereka tidak kenal dan tidak berlesera dengan kudapan tempatan akan tetapi turut merugikan peniaga kecil di warung-warung tepi jalan.
Remaja perempuan pula meminati iklan yang memperagakan pakaian seluar panjang ketat seperti Jeans sehingga menampakkan susuk badan serta kemeja T singkat atau singlet nipis. Mereka turut boros berbelanja untuk membeli pakaian berkenaan agar tidak ketinggalan zaman. Mereka juga mnegemari iklan alat solek serta ubat dan alatan bagi melangsingkan badan sehingga gaya hidup mereka sudah semacam masyarakat barat.
Penampilan diri amat penting buat mereka untuk sentiasa kelihatan cantik, menarik lagi memikat minat anak muda. Trend gaya hidup begini tidak sempurna jika tidak dilengkapi dengan telefon bimbit dan beg tangan berjenama mahal-mahal harganya.
Iklan melalui media massa serta blog.spot benar-benar mempengaruhi trend gaya hidup dan berpakaian remaja masa kini. Kalau trend ini berterusan tanpa kawalan nanti dikhuatiri remaja yang bakal mewarisi kepemimpinan masa depan akan hilang keperibadian bangsa sendiri. Oleh itu, penyiaran iklan oleh media massa perlu sesuai dengan budaya, adat resam dan tatasusila bangsa dan negara kita.
Golongan remaja pula jangan mudah terikut-ikut dengan iklan berkenaan tetapi sebaliknya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan dan pakaian agar dapat mencerminkan nilai budi bahasa yang luhur lagi santun. Makanan seimbang pastinya menjamin hidup yang sihat lagi selesa.
Apakah maksud makanan seimbang? Piramid makanan seimbang mengesahkan insan perlu mengambil seraf, roti,dan bijian; disusuli sayuran dan buahan seberapa banyak yang mampu; kemudian secara sederhana dan berpatutan mengambil daging (ayam dan lembu/kambing); dan akhirnya sedikit lemak, minyak, gula, dan garam.




ULASAN FORMAT DAN ISI KARANGAN PENDAPAT

• Model di atas contoh terbaik bagi karangan bercorak pendapat yang sewajarnya dicontohi pelajar.
• Takrifan tentang ‘iklan’ dan ‘gaya hidup’ diberikan dengan jelas dan tepat.
• Premis penulis ialah iklan media cetak dan khususnya elektronik benar-benar mempengaruhi trend gaya hidup dan berpakaian remaja masa kini.
• Premis ini disokongi oleh contoh ketara seperti berpakaian jean dan kemeja T yang jarang menampakkan susuk badan.
• Begitu juga dengan kecenderungan remaja mengambil makanan ringkas dari barat seperti minuman bergas coca cola dan Kentucky sehingga mengabaikan makanan tradisi tempatan.
• Rumusan penulis ialah golongan remaja perlu kembali kepada gaya hidup tradisi yang diwarisi zaman berzaman sesuai dengan nilai budi bahasa yang luhur lagi santun.
• Dengan premis-premis begini, penulis menggunakan format hujahan secara logik, sama seperti format hujahan dan perbincangan, bagi menegakkan pendapatnya.
• Karangan ini agak panjang sehingga mencecah angka 496 perkataan.


ULASAN ASPEK GAYA BAHASA


• Gaya bahasanya mantap dan padu sesuai untuk karangan bercorak pendapat.
• Keindahan dan kekuatan bahasa karangannya amat menyentuh perasaan khalayak seperti ‘memperaga gaya hidup’, ‘sesuatu paparan’, ‘membentuk persepsi pengguna’,‘ penampilan dan sahsiah rupa diri’, ‘penampilan diri’, dan ‘mencerminkan nilai budi bahasa yang luhur lagi santun’.
• Proses normalisasi amat dimanfaatkan dalam karangan di atas seperti ‘memperaga gaya hidup pemuda kacak dan tampan. Kata dasar peraga dikembangkan melalui proses pengimbuhan seperti ini: ‘Peragaan ini merangkumi gaya dan jenis bahan makanan serta minuman serta cara berpakaian’.
• Contoh keluasan bahasa yang menimbulkan keindahan di sini ialah ‘sebaliknya lebih-lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan dan pakaian agar dapat mencerminkan nilai budi bahasa yang luhur lagi santun’.

Pelajar digalakkan menggunakan bahasa indah lagi luas maknanya seperti contoh karangan di atas.

Friday, February 25, 2011

Kesejagatan Islam - Ummah ubah persepsi

Orang Melayu mesti berani berubah baik dari segi persepsi mahupun pandangan hidup atau world-view sebab kedua-duanya menjadi prasyarat kepada pembangunan dan kemajuan ummah mulai sekarang.
Sesungguhnya persepsi dan pandangan hidup orang Melayu inilah yang selamanya melemahkan kemajuan dan perpaduan ummah sejak zaman Munsyi Abdullah lagi yang menyifatkan Melayu satu bangsa pemalas dan pengotor.
Yang terkhusus di sini ialah perubahan mindset dan persepsi murid, pelajar, dan remaja, terhadap kemajuan seperti tuntutan Islam. Pandangan negatif terhadap satu-satu isu bakal mengembalikan mereka kepada zaman lampau dalam keadaan ajaran Islam disaluti dengan pemikiran kolot, tahyul, bidaah, dan jumud.
‘Persepsi’ diibaratkan sebagai tanggapan, pengertian dan penglihatan seseorang terhadap sesuatu. Rata-rata Melayu berpersepsi buruk dan negatif terhadap hidup dan kehidupan biarpun kitab suci al-Quran diterima menjadi benteng ketauhidan yang diidam-idamkan bagi menempiasi segala cabaran dan dugaan hidup dalam usaha hendak mencari dan menegakkan kebenaran.
Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syura: Ayat 17 yang bermaksud: “Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan.”
Sehubungan dengan inilah, Islam tidak membezakan umatnya dari segi rupa bangsa, keturunan, latar belakang kekeluargaan, kedudukan, pangkat, ataupun lelaki dan wanita malah kesemuanya mempunyai kedudukan yang sama-sama penting dalam pembangunan ummah dan negara dengan berpaksikan tuntutan duniawi dan ukhrawi.
Maksud firman Allah lagi dalam Surah Al-Hujuraat: Ayat 13 bermaksud: “Allah telah menjadikan manusia daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadi kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak untuk kamu saling kenal mengenal ( dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Ke arah maksud ini, tokoh reformasi sepanjang zaman benar-benar memperjuangkan perpaduan ummah lantaran perpaduan dianggap pencetus reformasi pemikiran.
Tiap-tiap insan diberi kebebasan untuk menimba ilmu demi peningkatan taraf hidup diri dan seterus dapat memberi sumbangan serta berbakti secara muafakat dan bersepadu ke arah pembangunan ummah.
Islam agama sejagat yang liberal sifatnya, dalam erti kata tidak membelenggu umatnya terhadap doktrin pemikiran.
Kesejagatan agama Islam dapat diperhatikan daripada perentasannya melepasi sempadan negeri, negara, wilayah, benua dan hatta seluruh dunia, tanpa mengira warna kulit dan keturunan. Yang kurang arif dan mengenali Islam sahaja yang menganggapinya agama yang membawa unsur keganasan dan kekejaman.
Allah berfirman dalam Surah al-Faatihah: ayat 2 bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan “dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar) seperti firman-Nya dalam Surah al-Baqarah: Ayat 119.
Dengan ciri kesejagatannya, Islam dapat memupuk ikatan persaudaraan Islam sedunia bercirikan kasih sayang, dapat menyatupadukan pelbagai lapisan umat manusia merentasi sempadan wilayah dan kedudukan geografi, dan sekaligus itu pula dapat menegakkan kebenaran dan keadilan.
Sebagai agama sejagat, Islam membenarkan perbahasan tentang keagungan dan kebenarannya secara terbuka dan logik, agama yang dianuti secara sukarela tanpa paksaan tanpa ugutan dan tanpa ancaman.

Thursday, February 24, 2011

Hipertensi

Betapa tidak terlompat-lompatnya. Kuasa graviti di bulan lebih lemah daripada di bumi.
Dia terus terapung-apung di udarakasa bulan tanpa udara. Pakaian angkasa lepas yang serba putih dan lengkap itu membekalinya oksigen. Kiri-kanannya kelihatan padang pasir luas terhampar persis Sahara lakunya. Ah, macam bumi juga! Aiman mendengus. Kawah besar, lurah dalam dan melebar, dataran terhampar dan gunung-ganang. Semuanya ada dan wujud.
Heh, tengok di sana itu. Gelap. Tidak nampak apa-apa. Oh barangkali inilah yang dikata ‘lautan’. Penamaan yang pelik dan ganjil. Ada unsur sinisnya. Sebab: Kajian saintifik membukti air tidak wujud di planet bulan.
Tidak ada udara. Tidak ada air. Bagaimanakah umat bumi hendak dipindahkan ke bulan? Sesuatu yang mustahil. Tidak sesiapa pun dapat wujud di sini. Sekali lagi dia terperanjat kaget. Kawah besar ternganga tidak jauh daripada situasi keterapungannya.
Cuaca cukup membahang panas dan ganas. Dia merasai bahangnya macam sudah cecah angka 150 darjah Celsius. Amat panas. Kepanasan yang begitu menakjubkan.
Suara itu datang lagi biarpun dia berusaha menepisinya beberapa kali. Suara halus yang mendesah di tengah-tengah keterasingan diri menghamparkan keinsafan dan kesayuan. Insaf dan sayu di tengah-tengah keluarbiasaan benar-benar memilukan. Dirinya semacam terpenjara ratusan tahun lamanya. Dia mahu berangkat pulang segera ke planet bumi.
Pucuk kelapa yang berbalam-balam tadi, sedikit demi sedikit dan beransur-ansur cerah di kelir pandangannya. Sentuhan ratina matanya kian mempamerkan pohon seribu guna itu. Bezanya, pohon itu sudah berusia, daunnya kian keras dan lidinya kian liat.
Proses keremajaan diri sendiri mulai terasa. Dia giat melemparkan pandangan ke bawah dari pucuk kelapa yang tinggi menjulang.
Heh, wajah geruh babah dan ibunya bersedia hendak menyambutnya dengan hamparan tilam empuk yang gebu, persis sambutan penuh kemeriahan dan istiadat kepulangan angkawan negara sesudah beberapa minggu di ISS dan kemudian beberapa minggu lagi di permukaan bulan.
Fikir Aqil, adakah dia akan terjun bersama-sama beberapa biji buah kelapa seperti terjun Si Lunchai dengan labu-labunya?
Tengok sekarang, dia sedang menyusun sepuluh jarinya. Babah dan ibunya sedar akan perkara itu. Jari-jemarinya jelas montok dan gebu. Padat berisi tanda perut tergalas secukupnya. Makanan seimbang dan amalan hidup sihat selalu menjaduali rutin hariannya di tengah-tengah keluarga yang bengis dan kasar.
Kepada Aqil, layanan seperti itu tidak wajar dilakukan ke atas dirinya. Tamparan selalu singgah di pipiku. Sudah-sudahnya, aku jadi gagap. Di manakah harmonisnya? Di manakah humanisnya? Mengapakah tidak dimanfaatkan saja teknologi tingkah laku?
Tenaga berlebihan? Oh tidak. Kudrat melebihi ketepuan? Tidak juga. Kelebihan kalsium semasa proses penghamilan? Barangkali si ibu mengambil bahan kimia ini secara berlebihan semasa proses berkenaan? Kemungkinannya ada. Keberangkalian tidak berlaku juga ada.
Tetapi jika dikatakan otakku tidak berfungsi menurut patutnya, oh, tidak. Aku bakal tentang habis-habisan. Jika dia masih hidup, dia dapat membuktikannya. Siapakah tokoh itu?
Paul Broca, seorang anatomis dan antropologis berbangsa Perachis. Kucintai penemuan tahun 1861itu fungsi otak manusia bergantung kepada bahagian yang membina otak itu sendiri.
Broca memeriksa pesakit gagap melalui pendekatan rawatan khusus dan terapi. Yang lebih penting layanan mesra berpaksikan pendekatan humanis melalui teknologi perlakuan dan sahsiah rupa diri. Dia hanya dapat mengucapkan satu suku kata, biarpun dia faham penuh akan pertuturan yang dilafazkan. Akhirnya dia fasih berbicara.
Keadaan diriku lebih baik, fikir Aqil. Situasiku tidak segagap itu. Aku dapat bertutur biarpun mulutku ternganga lebar dahulu sebelum lahir diksi berisi. Babah barangkali tidak tahu akan penemuan Broca. Babah lebih dekat kepada kejuruteraan mekanikal. Ibu juga saintis tetapi lebih kepada bidang geologi.
Aqil teringat akan bisikan halus yang didengarinya ketika dalam keterasingan di planet bulan melalui pentas halusinasinya. Suara ghaib itu mengajaknya lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Jangan kaubinasai habitat semula di planet bumi. Salahnya barangkali menganggap pucuk kelapa muda sebagai kapal Soyuz, yang menghantuinya sekian lama. Tidak perlu latihan intensif dan istimewa itu, babah. Tidak perlu latihan terapi itu, ibu. Aqil akan usahakan sendiri.
Dia mendongaki langit. Sisik-sisik awan berarak tenang, seteduh air kolam waktu malam jernih. Suria terus setia memancarkan cahaya. Sayup-sayup kedengaran muzik beralun, lembut dan penuh makna, semacam mengubati kelukaan hatinya ketika menjenguki lereng cerun bukit di hadapannya. Jauh-jauh di sudut hati, dia memanjatkan doa dan harapan ke hadrat Ilahi!