Showing posts with label SPM : Kertas 1 Bhg B (Laporan). Show all posts
Showing posts with label SPM : Kertas 1 Bhg B (Laporan). Show all posts

Friday, March 11, 2011

"Perancangan Strategik Sukan Sekolah" (2)

Laporan Perancangan Strategik Sukan Sekolah

Laporan ini terhasil daripada perbincangan tidak rasmi kalangan kami empat orang pelajar Tingkatan Lima Sains Kosmos. Kami begitu prihatin tentang kemerosotan mutu sukan sekolah sejak kebelakangan ini. Justru kami berbincang secara tidak rasmi dua hari Sabtu berturut-turut awal bulan Mac 2011.
Kami berpendapat perancangan strategik sukan sekolah ini perlu sejajar dengan ketetapan Kementerian Belia dan Sukan, dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberi tumpuan kepada sukan Asia, Komanwel, dan Olimpik tanpa meminggirkan sukan Asia Tenggara (SEA).(AYAT TAJUK). Maksudnya sekolah perlu menentukan objektif tegas lagi jelas akan sasaran mencapai kemenangan pada tahap sekolah, mukim, daerah, dan negeri, malah kebangsaan.
MAKNA).Dengan penentuan objektif begini, sekolah sudah dapat membuat perancangan sistematik dan betul apa yang disebut perancangan strategik bagi mencapai unjuran yang direncanakan mulai sekarang. (HURAIAN). Secara ringkas, perancangan strategik digunakan untuk mengenal pasti, menakrif dan menganalisis tindakan ke arah pencapaian objektif yang telah digarisi. KESIMPULAN KECIL).
Ciri-ciri yang mendasari perancangan begini merangkumi fokus tumpuan, kaedah atau metodologi, keperluan maklumat, hambatan, pendekatan, dan sumbangan.(AYAT TAJUK). Fokus disasarkan ialah kemenangan pada pertandingan sukan. (MAKSUD). Sekolah perlu mengatur metadologi dengan mengandaikan masalah yang timbul serta mencari pendekatan baru bagi menyelesaikannya, khusus dari segi pelahiran atlit yang hebat dan gagah bertaraf negeri.(HURAIAN). Ambil contoh sukan olahraga dan balapan, yang ternyata kian merosot. (CONTOH). Ertinya pihak berkuasa sekolah khususnya pengetua perlu menggunakan pendekatan baru untuk mendepani sekolah yang lebih gagah peringkat mukim dan daerah.
Maklumat yang perlu dikutip untuk mengatur pendekatan baru ini ialah arah-aliran persekitaran luaran daripada segi politik, ekonomi, dan teknologi. Ketiga-tiga faktor ini bakal menentukan hala tuju objektif sekolah daripada segi perancangan sukan.Faktor hambatan luar jangka perlu dipertimbangkan sama seperti kekurangan dana sukan akibat kedudukan ekonomi tidak menentu seperti kini. Dana diperlukan bagi membeli peralatan sukan serta makanan seimbang seperti yang mengandungi protein dan kalsium seperti susu Dutch Lady. Hal demikian ini menjejasi kelancaran perancangan strategik sukan lebih-lebih yang membabitkan penggunaan teknologi canggih untuk kejurulatihan dan latihan atlit secara konsisten. Kesukaran mendapatkan jurulatih profesional yang sesuai dengan persekitaran sekolah kita yang diberati dengan kecederaan atlit turut menghambat perancangan sistematik begini.
Biar apapun kedudukannya, pentadbir sekolah perlu memikirkan pendekatan lebih fleksibal dan malah menganggapi sukan sama seperti urus-tadbir keusahawanan dalam usaha mendapat laba berbaloi daripada modal yang terlabur.Akhirnya perlu difikirkan juga akan sumbangan sukan daripada perancangan strategik ini kepada peningkatan imej dan maruah sekolah pada pelbagai peringkat global. Sama-samalah kita fikirkan. Kami benar-benar berharap cadangan bernas seperti terkandung dalam laporan ini dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak sekolah. Betapa tingginya Gunung Kinabalu, tinggi lagi harapan kami kepada tuan Pengetua. Terima kasih.


Laporan disediakan oleh,

…………………………..
(TAN QUI YEN)
Pelajar Tingkatan Lima Sains Kosmos,
Sekolah Menengah Mesra Sentosa,
Kota Belud, Sabah.

(415 perkataan)

ULASAN FORMAT DAN ISI LAPORAN

1. Laporan di atas tertulis menurut format yang betul dan tepat. Ertinya ada tajuk laporan, nama pelajar, iaitu pelajar Tingkatan Lima Sains Kosmos, Sekolah Menengah Mesra Sentosa, Teluk Intan, Perak, dan ada catatan nama pelapor sebagai akhiran laporan.
2. Urutan kandungan laporan adalah baik dan menurut kronologi kepentingan isi, yang dimulai dengan latar belakar yang melahirkan laporan, bersusulan dengan objektif tegas lagi jelas pencapaian sekolah dalam bidang sukan.
3. Kepada pelapor objektif berkenaan perlu berselarian dengan objektif dan matlamat misi dan pencapaian negara. Hal demikian ini berfaktor daripada rata-rata atlek negara berasal dari sekolah.
4. Sekolah perlu menentukan objektif tegas lagi jelas akan sasaran mencapai kemenangan pada semua peringkat.
5. Huraian perancangan strategik jelas dan tepat : Perancangan strategik digunakan untuk mengenal pasti, menakrif dan menganalisis tindakan ke arah pencapaian objektif yang telah digarisi.
6. Ciri-ciri yang mendasari perancangan strategik juga tepat yang merangkumi fokus tumpuan, kaedah atau metodologi, keperluan maklumat, hambatan, pendekatan, dan sumbangan.
7. Penjelasan pelapor berkaitan dengan ciri-ciri berkenaan dibuat secara tertib atau kronologi, yang juga jelas dan tegas.
8. Idea bernas pelapor diselitkan pada dua perenggan terakhir dengan yang pertama pengurus sekolah perlu tegas mengurus aktiviti sukan seperti urus-tadbir keusahawanan yang memikirkan laba daripada pelaburan dibuat dan yang kedua perancangan strategik sukan dapat menaikkan imej sekolah.
9. Laporan diakhiri dengan harapan pelapor kepada tuan pengetua agar memberi pertimbangan wajar kepada cadangan yang dikemukakan demi kemajuan mutu sukan sekolah.
10. Panjang laporan agak berpatutan kerana tertulis dalam lingkungan 415 perkataan.

ULASAN ASPEK GAYA BAHASA LAPORAN DI ATAS

1. Laporan ini ditulis menggunakan laras bahasa sains sosial dengan tepat dan relevan biarpun kadar keterbacaannya agak tinggi. Kelemahan calon yang ketara dalam konteks begini ialah tidak jelas akan pengungkapan laras sains sosialnya disebabkan penggunaan diksi dan frasa yang begitu terbatas.
2. Selain diksi dan frasa sains dan teknologinya, calon juga perlu menerapkan gaya dan lengguk ayat-ayat sains sosial. Ayat laras sains sosial lebih luas berbanding ayat laras sains tulen yang lebih dinamik, ringkas, jitu, dan padat.
3. Ayat gramatis dengan penggunaan kos dan frasa kata yang luas lagi tepat menyebabkan kadar keterbacaannya agak tinggi sehingga semacam ada makna tersirat pada lapisan kedua. Pastinya ‘perancangan strategik’ perlu diberi penjelasan tegas bagi mengelakkan kekeliruan.
4. Kata luas yang lain, agak spesifik sifatnya ialah fokus tumpuan, kaedah atau metodologi, keperluan maklumat, hambatan, pendekatan, dan sumbangan. Begitu juga dengan frasa fleksibal, urus-tadbir keusahawanan, dan laba berbaloi
5. Pelapor turut menggunakan ungkapan menarik lagi indah seperti ‘Betapa tingginya Gunung Kinabalu, tinggi lagi harapan kami’.
6. Keselarian diksi dalam satu-satu ayat turut memberi kesan keindahan seperti contoh ini: ‘mengenal pasti, menakrif dan menganalisis tindakan’.
7. Penyelitan ungkapan indah seperti petikan ini bakal mengindahkan karangan anda biar apa corak sekalipun.
8. Calon digalakkan menerapkan bahasa indah seperti peribahasa dan pantun Melayu, lantaran kedalaman maksud dan pengajarannya, selain dapat mempopularkan kedua-dua genre berkenaan oleh kalangan generasi sekarang.
9. Penggunaan tanda baca juga tepat serta mengikuti perkembangan semasa.

"Perancangan Strategik Sukan Sekolah"

1. PENGENALAN
• Karangan bercorak laporan ialah karangan yang melaporkan sesuatu perkara dan peristiwa.
• Contohnya laporan tentang hasil perbincangan hendak memajukan mutu sukan sekolah, persatuan sekolah, laporan mengenai mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah (PIBG), lawatan ke sesuatu tempat bersejarah lagi menarik, lawatan harian ucapan tahunan sekolah, dan sebagainya.
• Biasanya, dalam keadaan begini, anda diminta mengandaikan diri sebagai pengerusi, setiausaha, bendahari (laporan kedudukan kewangan persatuan), ataupun anggota jawatankuasa persatuan.

2. FORMAT KARANGAN BERCORAK LAPORAN
Format karangan laporan adalah seperti berikut:
(a) Karangan jenis laporan semestinya ditulis mengikut format tertentu seperti ‘tajuk laporan’, ‘kandungan laporan’, ‘pengakuan yang menulis laporan’, ‘tarikh penulisan laporan’, ‘tanda tangan’, ‘nama’, ‘nama’, ‘jawatan pelapor’, dan persatuan yang diwakili.
(b) Butir-butir yang terkandung dalam laporan biasanya menjawab soalan seperti ‘apakah’, ‘siapakah’, ‘bilakah’, ‘di manakah’, ‘mengapakah’, dan bagaimanakah?’
(c) Tajuk laporan hendaklah ditulis di tengah-tengah halaman dengan HURUF BESAR bagi awal kata kecuali kata sendi, kata hubung, dan kata sandang, dan digarisi di bawahnya.
(d) Isi-isi laporan perlu ada pengenalan, pertengahan, dan pergakhiran ataupun kesimpulan.
(e) Pengakuan pelapor ditulis di sebelah kiri laporan sesudah perenggan akhir dengan langkau dua atau tiga baris kosong dan diakhiri dengan tanda koma (,). Huruf pertama bagi tiap-tiap kata pertama mestilah ditulis dengan HURUF BESAR.
(f) Tarikh laporan ditulis di sebelah kanan, setentang dengan pengakuan pelapor.
(g) Tanda tangan pelapor ditulis di sudut kiri sesudah pengakuan pelapor.
(h) Nama pelapor ditulis HURUF BESAR sepenuhnya dalam kurungan sesudah tanda tangan.
(i) Jawatan pelapor dan nama persatuan yang diwakili ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan diakhiri dengan tanda nokhtah (.).

3. MODEL SOALAN KARANGAN

Anda berbincang-bincang dengan beberapa orang rakan mengenai usaha bagi meningkatkan mutu sukan sekolah anda. Sambil berbincang itu, anda dan rakan menikmati kudapan kentang goreng yang rangup, lebih dikenali sebagai ‘mister potato’, yang enak rasanya dan cukup garamnya.
Hasil perbincangan, kumpulan tidak rasmi itu bersetuju menyediakan laporan lengkap dinamai “Perancangan Strategik Sukan Sekolah” untuk dikemukakan kepada Pengetua sekolah. Sediakan laporan itu selengkapnya.

4. KEHENDAK SOALAN DI ATAS


• Isu utama soalan ini yang ditulis dalam bentuk laporan ialah ‘Perancangan Strategik Sukan Sekolah’, untuk dikemukakan kepada Pengetua sekolah.
• Kumpulan tidak rasmi beberapa pelajar melengkapi laporan ini dengan cadangan peningkatan mutu sukan sekolah.
• Faktor di sebaliknya mungkin mutu sukan sekolah semakin merosot sehingga tidak mampu mengukir kemenangan pada peringkat daerah, apatah lagi negeri dan kebagsaan.
• Kata kunci karangan ialah ‘perancangan strategik’, yang perlu dijelaskan pada tahap awal karangan.
• Tubuh karangan sepatut berisi cadangan-cadangan bernas lagi konkrit bagi meningkatkan mutu sukan sedia ada.
• Karangan ini semestinya ditulis menurut format laporan.
• Pada bahagian kesimpulan, pelapor benar-benar berharap dapat memberi perhatian serius terhadap cadangan yang diutarakan dengan kadar segera.

5. RANGKA DAN ISI-ISI YANG PERLU DITULIS

1. Pengenalan laporan
• Tajuk laporan.
• Tulis di tengah-tengah halaman dan digarisi.
• Abjad pertama bagi tiap-tiap perkataan ditulis dalam HURUF BESAR.

2. Isi-isi laporan
• Latar belakang penulisan laporan
• Huraian maksud frasa ‘perancangan strategik’.
• Perancangan strategik membolehkan sekolah membuat unjuran tepat
• Fokuskan tumpuan, kaedah, keperluan maklumat, hambatan, pendekatan, dan sumbangan.
• Huraikan maksud tiap-tiap satu komponen berkenaan.

3. Akhiran laporan
• Harapan si pelapor hendaklah ditulis dalam perenggan penutupan.
• Laporan diakhiri dengan ucapan terima kasih dan ungkapan perbandingan bagi menunjukkan ketinggian harapan si pelapor.